Tuesday, October 5, 2010

Antara Perkara yang Perlu Pelajar Elakkan.

• Jawapan berbelit-belit.
• Tidak cermat memilih dan memahami kehendak soalan.
• Lemah dalam memahami sesuatu istilah.
• Tidak dapat menulis istilah tertentu dengan betul.
• Tidak mengikut panduan markah yang diberikan.
• Isi jawapan yang berulang-ulang atau sama maksud.
• Tertinggal ceraian jawapan.
• Jawapan diberi tidak mengikut kehendak soalan.
• Jawapan yang diconteng dengan liquid paper dan tidak ditulis semula.
• Tulisan yang tidak boleh dibaca dengan jelas oleh pemeriksa.
• Tidak menyusun kertas jawapan mengikut urutan yang sepatutnya.
• Menggunakan bahasa pasar atau daerah.
• Jawapan terlalu ringkas / kurang daripada yang diminta.
• Tiada nombor soalan.
• Tiada perenggan / ruang antara satu soalan dengan soalan lain.

Menurut apa yang telah berlaku daripada pengalaman yang lepas para pelajar tidak menngambil berat mengenai perkara terbabit. Jadi, saranan agar para pelajar belajar mengikut teknik yang betul dan tidak lari daripada kehendak soalan itu sendiri. Seperti yang telah kita sedia maklum, Tasawwur Islam bukan subjek yang sukar namun harus memahami konsep dan selalu membuat latih tubi.

Ke Arah Penghayatan Islam yang Syumul


Fikrah kita ialah fikrah Islam atau Din Islam. Din Islam ialah Din terawal dan kekal abadi. Din Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, para sahabat RA dan pengikut-pengikut mereka hinggalah ke Hari Akhirat kelak. Din Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup.

Kita tidak boleh menambah dan mengurangkan pada mana-mana bahagian ajaran Allah SWT. Di dalam apa hal sekali pun, kita tidak boleh mendahului Islam. Kita adalah pengikut ajaran Allah SWT. Pengikut hendaklah berada di belakang.


Kita perlu menyesuaikan diri dengan Islam

Kita mestilah membentuk jiwa supaya serasi dengan ajaran Allah SWT. Jiwa dan hati hendaklah diperoses dengan Iman hingga sanggup patuh dan tunduk kepada semua ajaran Allah SWT.

Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat yang menerima Islam di Madrasah Rasulullah SAW. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau sebagaimana yang kita sendiri mahu. Kita perlu memahami Islam sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah SWT. Kita tidak menurut hawa nafsu kita dalam memahami Islam. Kita mahukan Islam yang asli. Kita tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan ajaran yang lain. Kita perlu bersungguh-sungguh memahami Tasawwur Islam.

Islam sahaja yang benar

Islam sahajalah yang mampu menolak kekeliruan-kekeliruan yang terdapat pada sesetengah menusia. Kita tidak mudah terpengaruh dengan “nama-nama” yang elok sedangkan isinya kosong. Sesungguhnya orang mu’min itu cerdik, bijak serta pintar dan ia tidak mudah untuk ditipu dengan nama-nama sahaja.

Kita perlu ketengahkan fikrah Islam. Kita perlu sebarkan fikrah Islam kepada orang ramai dengan jelas dan terang. Kita tidak boleh menghilangkan walau pun satu huruf daripada fikrah Islam yang sebenar.

Untuk mendapatkan dan menyampaikan Islam sebenar, kita perlu mengambil Islam itu dari sumber-sumber yang sah iaitu al-Quran,as-Sunnah Rasulullah SAW dan huraian-huraian ulama’-ulama’ muktabar. Sumber kita adalah sumber syar’i.

Seluruh bidang hidup kita perlu berpandukan Din Allah SWT. Din Islam sahajalah yang diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Din yang diredhai di sisi Allah hanya al-Islam.”
-Surah Ali-’Imran: ayat 19.

“Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai Din, maka sama sekali tidak diterima daripadanya, di akhirat kelak termasuk ke dalam golongan orang yang rugi.”- Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

Apabila Allah SWT tidak menerima orang yang mengambil Din yang lain, maka di akhirat kelak dia termasuk ke dalam golongan orang yang rugi. Amat rugi. Kerugian dari “kaca mata” Allah SWT. Kerugian mengikut nilai Rabb al-Jalil bukan mengikut nilai manusia.

Allah SWT juga telah memberikan kata dua kepada manusia samada memilih Islam atau kekufuran. Firman Allah SWT:

“Dan katalah al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu, maka barang siapa yang ingin beriman maka hendaklah ia beriman dan barang siapa yang ingin kafir hendaklah ia kafir. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang- orang kafir itu neraka yang bergejolak mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum air seperti besi mendidih (cair) yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.”
- Surah al-Kahfi: ayat 29.

Kita perlu iltizam dengan ajaran Islam dan kita persaksikan Islam dalam bentuk kehidupan. Di waktu yang sama kita wajib mempertahankan Islam. Mempertahankan kefahaman Islam sebenar.